PAS perlu mengekalkan pemimpin sedia ada sebagai tanda protes terhadap budaya fitnah dan adu domba yang cuba dibawa sebuah golongan dalam parti Islam itu, kata timbalan pesuruhjaya III PAS Selangor.

Tanpa menyebut nama mana-mana pihak, Khalid Samad berkata, usaha "golongan muda" itu walaupun bersandarkan slogan "perubahan dan menyelamat", ia sebaliknya merosakkan PAS dari dalam.

"Tolak melalui ‘kekal, cogan kata yang membawa kemenangan di Sungai Limau.

"Kekal budaya politik bersih dan sihat dan kekal saf pimpinan yang sedia ada," katanya yang juga anggota Parlimen Shah Alam.

Menulis dalam blognya semalam, Khalid juga menolak pandangan bahawa jawatan timbalan presiden mestilah seorang ulama kerana ia hanya pandangan bukan ketetapan.

Katanya, berdasarkan Kertas Mesyuarat Peranan Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pusat PAS yang dibentangkan Murysidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebelum ini, jelas dinyatakan bahawa jawatan tertinggi parti sebagai "pelaksana".

"Saya hormati pandangan itu tetapi ‘patik mohon derhaka dalam pemilihan timbalan presiden PAS," katanya.

Pemimpin nilai tambah

Menurut Khalid lagi, timbalan presiden yang harus dipilih mestilah memberikan nilai tambah dan bukannya hanya melakukan perkara yang sama seperti Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Apa guna adanya Timbalan Presiden yang hanya mampu membuat apa yang mampu dibuat Presiden dan itu pun tidak sehandal presiden?" katanya.

Beliau juga berkata, penyandang sedia ada Mohamad Sabu mempunyai kekuatan itu, antaranya mampu memperkukuhkan hubungan PAS-Pakatan dan sokongan bukan Islam.

"Maka perwakilan perlu pilih antara calon yang akan kekal dan kukuhkan Pakatan dan calon yang ingin mengkaji semula hubungan PAS dan Pakatan," katanya.

"Kalau susah untuk dikenali, maka sekali lagi saya syorkan, kekalkan sahaja yang sedia ada," katanya.